Selamat Datang

Selamat Datang

07 April 2010

USM PENERAJU IDENTITI UNIVERSITI APEX MALAYSIA

Menjadi peneraju kelestarian antara sasaran pelan transformasi Universiti Sains Malaysia (USM) dalam usaha membina identiti Universiti Apex Malaysia. Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, berkata pelbagai ciri pelestarian, antaranya selari dengan peraturan, peundangan, mesra, murah dan mudah akan diterap sebagai budaya universiti itu bukan saja dari segi pengurusan alam sekitar, malah merangkumi minda, sosial serta pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, penonjolan itu sejajar “Strategi Blue Ocean” yang mencadangkan strategi, undang-undang dan pelaksanaan dalam usaha mencapai status universiti terulung tanpa menetapkan institusi pengajian tinggi (IPT) tertentu sebagai penanda aras. “ dalam sektor pengajian tinggi, kita disaran meniru amalan baik universiti ternama, tetapi USM tidak akan mengikut kelaziman itu bagi membolehkan Malaysia mempunyai Universiti Apex sulung dengan identiti tersendiri.

“Massachusetts Institute of Technology antara IPT mengguna pakai ‘strategi Blue Ocean’ untuk memacu statusnya menjadi universiti global dengan memfokuskan usaha memenuhi permintaan mendadak tenaga mahir sektor perindustrian walaupun pada asalnya mereka disaran mengikut amalan Universiti Harvard,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Transformasi Pengajian Tinggi untuk Kelestarian Masa Depan: Perkembangan Universiti Apex Malaysia’ sempena persidangan Tahunan Pengajian Tinggi 2009 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dzulkifli berkata, pelaksanaan pelan tranformasi USM menuntut kerjasama menyeluruh warga universiti itu dengan fokus prestasi didahulukan. Katanya, selain kakitangan terutama tenaga pengajar yang mementingkan pembudayaan ilmu berbanding ganjaran, pelajar USM juga perlu melakukan transformasi bagi membolehkan mereka menyumbang kepada dimensi baru masa depan universiti.

“Berkhidmat dalam bidang pendidikan menuntut pengorbanan tinggi di kalangan tenaga pengajar, justeru, bagi pensyarah yang mementingkan ganjaran lumayan, mungkin USM bukan tempat sesuai bagi mereka berkhidmat. “ Pengambilan pelajar baru tahun ini bukan saja mempunyai kelayakan akademik yang tinggi malah keperibadian unggul dimiliki diharap dapat memacu pelaksanaan pelan bagi mencapai kedudukan 50 universiti terbaik dunia menjelang 2020,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan